Syukury's Blog

Tempat kita bersandar dan bertakhta

>Biodata YDP Negeri Pulau Pinang & Isteri

Tinggalkan komen

>Assalamualaikum.memandangkan saya dibesarkan di Pulau Pinang walaupun dilahirkan di Negeri Sembilan,sudah sebati dan terbiasa dengan gaya hidup orang utara.Jadi tak lengkap kiranya saya tidak berkongsi tentang pemimpin di Negeri Pulau Pinang.Tidak seperti 9 negeri lain,’Raja’ bagi negeri pulau pinang disandang oleh Yang Di-Pertua Negeri atau Tuan Yang Terutama(TYT) dan kalau dulu dikenali sebagai Gabenor.

Penyandang sekarang  ialah Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas

 TYT TUN DATO’ SERI UTAMA (DR.) HAJI ABDUL RAHMAN BIN HAJI ABBAS D.M.K., S.M.N., D.U.P.N., S.P.D.K., D.P., D.M.P.N., D.J.N.,

 YDP Negeri Pulau Pinang

TYT Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas dilahirkan pada subuh hari Jumaat 15 April 1938 di Permatang Rambai, Kepala Batas, daripada pasangan Haji Abbas bin Haji Abdul Rahman dengan Hajjah Jamilah binti Ubaid. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Permatang Sintok, Kepala Batas mulai 1946 sehingga 1953. TYT Tun Dato’ Seri memasuki Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim dari tahun 1955 hingga 1958. Seterusnya dari tahun 1960 hingga 1962, mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Bahasa Kuala Lumpur. TYT Tun Dato’ Seri telah memulakan kerjaya sebagai pendidik mulai 1963 sehingga ke tahun 1970, di Bukit Mertajam High School dan Sekolah Menengah Seri Muda Penaga. Tuan Yang Terutama berpeluang melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dari tahun 1970 hingga 1973 selama 3 tahun. Setelah menamatkan pengajian dengan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan kepujian, meneruskan kerjaya sebagai pendidik di samping melibatkan diri dalam bidang politik. Jawatan terakhir TYT Tun Dato’ Seri dalam bidang pendidikan adalah sebagai Penolong Kanan di Sekolah Menengah Seri Muda Penaga.

Karier politik TYT Tun Dato’ Seri bermula pada 16 Jun 1977, apabila terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bertam, berikutan kembalinya Allahyarham Y .B. Dato’ Haji Ahmad Badawi bin Haji Abdullah ke rahmatullah. Selanjutnya pada 8 Julai 1978, dalam pilihanraya umum yang diadakan, TYT Tun Dato’ Seri telah mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Kawasan Bertam, diikuti dengan tiga penggal pilihanraya umum berikutnya iaitu pilihanraya tahun 1982, 1986 dan 1990.

TYT Tun Dato’ Seri telah diberi kepercayaan menjawat jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang sepanjang penglibatan beliau dalam bidang politik iaitu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan akhirnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan sebelum dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dari 3 Disember 1990 hingga 5 April1995.
Isteri YDP Negeri Pulau Pinang
 YABHG. TOH PUAN DATO’ SERI UTAMA HAJAH MAJIMOR BINTI SHARIFF (DUPN)

YABhg. Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff dilahirkan pada tanggal 2 Disember 1942 di Alor Setar, Kedah. Ibu-bapa YABhg. Toh Puan bernama Tuan Haji Shariff bin Adamsa dan Puan Hajjah Wan Majmin bt. Hashim.

Pendidikan awal YABhg. Toh Puan bermula di Sekolah St. Nicholas Convent, Alor Setar, Kedah. Kemudian beliau melanjutkan pendidikan di Sekolah St. Theresa Sungai Petani. Setelah menamatkan pendidikan di peringkat sekolah, YABhg. Toh Puan berjaya memperolehi Sijil Pendidikan dari Maktab Perguruan Perempuan Melayu di Melaka. Kemudian YABhg. Toh Puan berjaya menjalani kursus Bahasa Inggeris di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur.

YABhg. Toh Puan telah memulakan kerjayanya sebagai seorang pendidik mulai tahun 1964  sehingga tahun 1989 iaitu selama 25 tahun.

YABhg. Toh Puan telah mendirikan rumahtangga dengan T.Y.T. Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan dikurniakan dengan empat orang cahayamata. Di antara hobi-hobi YABhg. Toh Puan ialah bermain badminton, bola jaring, membaca buku, memasak dan melancong. Pada 14 Julai 2007, YABhg. Toh Puan dianugerahkan Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) oleh T.Y.T. Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.   

Istana Negeri Seri Mutiara 

Tempat tinggal rasmi TYT negeri Pulau Pinang dikenali sebagai “Seri Mutiara”. Terletak sepanjang Jalan Utama, dibina pada tahun 1890, dengan kos sebanyak $81.173.00. Kediaman ini dibina atas arahan Mayor H. E. McCullum untuk kegunaan Residen Inggeris, yang berkhidmat di Pulau Pinang. Seri Mutiara atau dikenali sebagai “Residency” mula diduduki oleh Mr A. M. Skinner, yang juga merupakan Residen ke-enam Pulau Pinang. “Residency” berfungsi sebagai tempat tinggal rasmi untuk pemerintah Inggeris di Pulau Pinang sehingga Merdeka. Gabenor Melayu yang pertama mendiami “Residency” adalah Raja Y. A. M. Tun Uda Raja Muhammad. “Residency” kemudiannya telah ditukarkan nama dan dikenali sebagai “Seri Mutiara”.

PERANAN TYT TUN DATO’ SERI UTAMA
1. Memanggil dan membubarkan Dewan Undangan Negeri
2. Melantik Ketua Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan
3. Memperkenankan Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri
4. Memperkenan dan meluluskan persaraan Pegawai-pegawai Negeri dan juga Kertas-kertas
    Ganjaran atau Pencen
5. Mengurniakan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang
6. Mengampunkan kesalahan-kesalahan jenayah

About these ads

Author: Muhamad Syukri

Mencari sebuah makna kehidupan sebagai satu kembara yang benar-benar mengasyikkan

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.